Followers

Tuesday, December 29, 2009

Muhammad al-Fateh penakluk Konstantinopel


MUHAMMAD al-Fateh dilahirkan pada 1432 Masihi di Andrianapolis, berdekatan sempadan Turki-Bulgaria. Beliau menaiki takhta pemerintahan pada usia 19 tahun dan menjadi khalifah ketujuh empayar Uthmaniyah. Beliau memerintah selama 30 tahun sebelum meninggal dunia akibat diracun musuh.

Beliau yang mendapat pendidikan agama daripada Syeikh Syamsudin al-Wali adalah seorang yang sangat pintar, malah berkebolehan dalam tujuh bahasa iaitu Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew.


Sewaktu berusia 12 tahun, beliau dilantik bapanya sebagai pemimpin di Pulau Magnesia, sekali gus mendidiknya dalam bidang pemerintahan negara.

Panglima tentera unggul melatih beliau dalam bidang taktikal peperangan, ilmu memanah dan bermain pedang serta menunggang kuda.

Sejak menjadi khalifah empayar Uthmaniyah, beliau membuat kajian terhadap kota Konstantinopel pada setiap malam selama dua tahun.

"Saya mesti mengenal titik kelemahan pihak pemerintah Konstantinopel sebelum menyerang mereka. Di samping itu, saya juga harus mempelajari lokasi yang sesuai untuk pertahanan pasukan tentera saya jika berlaku serang balas daripada pihak musuh."

Beliau juga menilai punca sebenar kegagalan tentera Islam sebelum ini untuk menembusi pertahanan kota terbabit. Pada setiap masa beliau memanggil semua panglima tentera untuk berbincang mengenai strategi terbaik bagi menawan kota itu yang menjadi kebanggaan Byzantium.

"Saya perintahkan supaya pasukan tentera membina peralatan artileri yang dapat membantu dalam serangan menakluk kota Konstantinopel nanti," katanya.

Meriam gangsa besar yang dapat meledakkan 300 kilogram bom sejaruh 1.6 kilometer dibina oleh tentera Islam di samping menara bergerak yang lebih tinggi daripada kubu kota Konstantinopel sehingga mampu memuatkan beratus-ratus tentera.

"Wahai rakyat dan tentera saya, kerja membina kubu Rumeli Hissari ini bukan tanggungjawab kalian saja tetapi tanggungjawab beta juga," katanya yang kemudian membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir untuk membina kubu yang terletak lima kilometer dari kota terbabit.

Pada awal April 1453, seramai 150,000 tentera Islam di bawah pimpinan Muhammad al-Fateh bersiap sedia dengan segala kelengkapan bagi menyerang kubu kota terbabit.

"Laungkan azan dan solat berjemaah," kata beliau kepada tenteranya sebaik mendekati kubu kota Konstantinopel.

Sebelum itu beliau mengarahkan seorang utusan menemui raja Byzantium supaya menyerah diri dan memberikan kota itu kepada orang Islam secara aman dengan jaminan keselamatan ke atas semua pihak.

Tawaran itu ditolak raja terbabit kerana berpendapat kota Konstantinopel lebih kebal daripada serangan tentera Islam. Disebabkan itu, kota Konstantinopel dihujani dengan peluru meriam selama 48 hari sehingga dinding luar kubu terbabit rosak teruk, tinggal lagi dinding tengah yang masih utuh.

Kemudian Muhammad al-Fateh berkata kepada tenteranya: "Tolak menara bergerak kita menuju ke dinding tengah kubu kota Konstantinopel untuk memecahkannya."

Melihat menara gergasi menghampiri dinding tengah membuatkan tentera Byzantium terkejut. Menara itu dapat menembusi dinding tengah kubu terbabit. Pertahanan kubu kota terbabit semakin lemah, menyebabkan raja Byzantium meminta bantuan Pope Rom.

Selepas utusan raja Byzantium menghadapnya, Pope Rom berkata: "Kami menghantar lima armada yang lengkap dengan senjata dan tentera untuk membantu Byzantium yang diserang Muhammad al-Fateh."

Raja Byzantium gembira mendengar khabar itu, namun kegembiraannya cuma sebentar saja dan berganti duka sebaik melihat 80 kapal empayar Uthmaniyah di Selat Bospohurus yang akan menghalang armada bantuan Pope Rom.

Kemudian raja Byzantium memerintahkan tenteranya: "Rentangkan rantai besi di perairan Teluk Golden Horn untuk menghalang kemaraan armada empayar Uthmaniyah ke arah kota kita."

Taktik itu ternyata menjadi, menyebabkan armada empayar Uthmaniyah hilang semangat untuk menentang musuh, sehingga mewujudkan keadaan yang kelam-kabut, malah khabar angin kekalahan tentera Islam makin tersebar.

Dalam pada itu, Muhammad al-Fateh menerima surat sokongan moral daripada seorang alim, Aksemseddin. Selepas membaca surat itu, Muhammad al-Fateh berkata kepada panglimanya: "Perintahkan tentera kita membawa armada yang berlabuh di Dolmabache ke Teluk Golden Horn dengan menggunakan lembu dan tenaga manusia."

Esoknya, tentera Byzantium terkejut melihat 70 kapal diangkut oleh ratusan lembu dibantu ribuan tentera menggunakan tali dan kayu menuruni lereng bukit teluk terbabit. Pada waktu petang semua kapal berada di perairan Teluk Golden Horn.

Kapal empayar Uthmaniyah membedil armada Byzantium dan bantuan Pope Rom, semuanya hangus terbakar. Seterusnya dibedil dinding kota Konstantinopel sebelum dikepung bagi menghalang sebarang bantuan dari pihak luar.

"Panjat tembok kubu dalam dengan tangga tali dan tangan untuk masuk ke pusat kota. Gunakan lastik gergasi untuk merobohkan dindingnya supaya kita boleh masuk ke dalam," kata Muhammad al-Fateh.

Hassan Ulubate bersama 30 tentera Islam berjaya memasuki ke dalam pusat kota terbabit, lalu memacak bendera Islam, tetapi mereka gugur kerana dihujani anak panah tentera Byzantium.

Melihat saat genting itu, Muhammad al-Fateh tampil meniupkan semangat tenteranya dengan menceritakan keberanian tentera Nabi Muhammad dalam perang Uhud. Akhirnya kota Konstantinopel berjaya ditakluki Muhammad al-Fateh.

Beliau menukarkan nama Konstantinopel kepada Islambol yang membawa maksud Islam keseluruhan. Tetapi ketika pemerintahan Kamal Attartuk, Islambol ditukar kepada Istanbul. Gereja besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sophia.




P/s : Buat sahabat-sahabat yang berminat untuk mengetahui mengenali sejarah Sultan Muhd. Alfateh dengan lebih dalam ana galakkan antum untuk membeli buku ini (seperti di dalam gambar).buku ni sangat bagus keluaran PTS.Kalau tak pun pinjam je dekat ana.