Followers

Sunday, October 31, 2010

Belum Bertaubat Jika Masih berbuat Maksiat

Salam 'alaik,


Seseorang yang sedar akan dosa dan maksiat yang dilakukan tetapi tidak membuat perubahan, bererti ia belum lagi benar-benar bertaubat. Ia cuma mendapat kesedaran dan menyesal tetapi belum mendapat kekuatan dan pimpinan Allah untuk bertaubat. Oleh itu dia perlu berdoa meminta petunjuk dan pimpinan Allah.

Jika sudah ada kesedaran dan sedih akan diri yang berbuat maksiat, kita perlu bertaubat bersungguh-sungguh dengan taubat nasuha. Taubat yang sebenar-benarnya ialah dengan menempuh 3 syarat :

1 Mesti menghentikan dan meninggalkan dosa itu.
2 Rasa menyesal sungguh-sungguh diatas dosa tersebut yang telah terlanjur dilakukan.
3 Niat dan janji sungguh-sungguh tidak akan mengulangi perbuatan itu, dan seterusnya memperbaiki diri dan berazam untuk berbuat baik.

Seseorang yang tahu dia berbuat maksiat dan dosa tetapi tidak berusaha untuk bertaubat dan tidak bermujahadah untuk meninggalkan perbuatan maksiatnya akan mendapat kemurkaan Allah. Sesungguhnya Allah suka orang yang bertaubat dan akan mengampuni dosa dan kesalahannya jika dia bertaubat dengan erti sebenar-benarnya. Firman Allah :

"Dan orang-orang yang berbuat dan mengerjakan amal soleh maka sesungguhnya mereka bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya." - Surah Al Furqan:71.

Dalam hal ini bergantung kepada diri sendiri dan iman. kita perlu perhalusi keyakinan, bukan sahaja setakat iman pada akal, tetapi iman yang bertapak di hati. Iman yang bertapak dihati akan merasa takut bersungguh-sungguh, menyesal dan seterusnya membuat perubahan.

Sekiranya telah berusaha bersungguh-sungguh, lalu terbuat juga dosa, dengan segera bertaubat lagi meminta ampun kepada Allah. Dan kemudian kita berbuat semula dosa itu, maka bertaubat lagi. Begitulah seterusnya, jangan kita jemu bertaubat, dan jangan jemu kita berusaha meninggalkan dosa, supaya dengan itu Allah tidak akan jemu mengampunkan kita walaupun berulang kali. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang mensucikan diri." - Surat Al Baqarah:222.

Kita kenalah bersungguh-sungguh mempertingkatkan iman dengan iman yang sebenar-benarnya, kerana orang yang beriman sahajalah yang takut hendak berbuat dosa walaupun dosa kecil. Sabda Rasulullah SAW:

"Orang yang beriman itu apabila terbuat sedikit dosa ia merasa seperti gunung yang besar hendak menimpa mereka."

Wallahu'alam..

1 comment: