'Bumi mana yang tidak ditimpa hujan', manusia mana yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sama ada dengan sengaja atau tidak disengajakan, kecil atau besar , disedari atau tidak. Sebagai mana bumi, walaupun padang pasir yang terbentang luas pasti sesekali dicurahi hujan dari langit. Itulah hakikat dan realiti dunia.
Hakikat ini juga ditegaskan oleh rasulullah SAW, "semua manusia melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat"
Apabila seseorang melakukan kesilapan dan maksiat, tidak bermakna orang itu telah ditolak oleh Allah SWT. Mereka tetap mendapat tempat di sisi Allah SWT sekiranya mereka kembali di sisi Allah SWT dengan penuh penyesalan dan bertaubat kepada-Nya.
Firman Allah SWT:
Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah sebagai taubah nasuha. Mudah-mudahan tuhanmu menghapuskan dosa kamu dan memasukan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai”. (At-Tahrim:6)
Sabda Rasulullah SWT:
“Wahai manusia, bertaubaatlah kepada Allah SWT kerana aku bertaubat kepada-Nya seratus kali dalam sehari.” (Riwayat al-Muslim)
Segeralah bertaubat, lakukan dari hati yang tulus ikhlas yang lahir daripada hati rasa bersalah, rasa sedih dan rasa kesal dengan penuh penyesalan, rasa hina diri, rasa malu dan rasa takut kepada Allah. Tidak selayaknya kita melakukan dosa dan maksiat terhadap Allah SWT kerana terlalu banyak nikmat yang kita ambil daripada Allah SWT.
“Astagfirullaha al-Azim… Ya Allah, aku bertaubat, aku menyesal atas segala perbuatanku,… Ya Allah aku ingin kembali kepada-Mu. Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu, dan bantulah aku memperbaiki ibadahku kepada-Mu. Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku takwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya engkaulah sebaik-baik membersih, Engkaulah pelindungku dan pemimpinku.”
Walallahualam.
No comments:
Post a Comment