Followers

Saturday, January 8, 2011

GAPENA Pertahankan INTERLOK

Oleh HATA WAHARI

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menegaskan, Kementerian Pelajaran hanya boleh mengubah teks novel bertajuk Interloksekiranya penulis buku itu Abdullah Hussain bersetuju untuk berbuat demikian.

Setiausaha Satu Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan bagaimanapun memberitahu, pihaknya mempertahankan kedudukan buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima itu tidak boleh diubah kerana ia merupakan tindakan memperkecilkan penulis terbabit.
''Gapena sama sekali tidak boleh menerima sebarang perubahan kepada teks novel dan jika perubahan dilakukan gabungan akan bertindak balas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Rumah Gapena untuk menyatakan pendirian gabungan itu mengenai tindakan penggunaan novel itu sebagai buku teks di sini hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Dua Gapena, Profesor Madya Dr. Hashim Ismail; Bendahari Gapena, Hamzah Hamdani dan Ketua Media Gapena, Borhan Md. Zan.
Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.


Zainal Abidin bagaimanapun memberitahu, untuk mengubah setiap perkataan atau ayat dalam satu-satu karya, ia akan mempengaruhi keseluruhan makna karya tersebut, selain turut mengubah nilai sejarah sosial.
Beliau menambah, Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1990an hingga merdeka itu lebih berkonsepkan perpaduan dan tidak timbul isu untuk mengkritik kaum tersebut.

''Novel tersebut yang memenangi peraduan menulis novel memperingati 10 tahun kemerdekaan pada 1967 itu juga digunakan sebagai buku teks mata pelajaran sastera pada tahun 1970-an," kata beliau.
Mengenai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian pelajaran mengkaji semula penggunaan novel tersebut, Zainal Abidin menegaskan, Gapena dan sasterawan di negara ini juga perlu dipanggil untuk mendapatkan pandangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd. Khair Ngadiron mempunyai pandangan berbeza kerana katanya, jawatankuasa khas itu secara tidak langsung telah menafikan peranan banyak pihak sebelum ini termasuk jawatankuasa pemilihannya yang asal.
Malah kata beliau, penubuhan jawatankuasa khas itu juga akan menimbulkan tanda tanya mengenai penganugerahan Sasterawan Negara terhadap penulisnya kerana boleh diandaikan telah menghasilkan karya bersifat perkauman.

''Isu ini sepatutnya sudah selesai dan sebarang pertikaian mengenainya harus dirujuk kepada jawatankuasa pemilihan awal, bukannya dengan membentuk jawatankuasa khas baru," katanya.
Bagaimanapun, Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad pula berkata, jawatankuasa khas itu perlu sekiranya novel Interlok dilihat boleh menimbulkan isu sensitif berbentuk perkauman. Jawatankuasa khas itu juga, kata beliau, penting dalam memastikan pemilihan novel Interlok mencapai matlamat asal iaitu menjadikan naskah sastera sebagai salah satu elemen perpaduan di kalangan pelajar pelbagai kaum.  ''Memandangkan jawatankuasa khas seperti ini juga adalah yang pertama seumpamanya, ia merupakan satu perkembangan penting dalam amalan pemilihan dan penilaian naskah sastera untuk diangkat sebagai salah sebuah komponen dalam sistem pendidikan negara," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment