Followers

Friday, January 14, 2011

JANGAN LAYAN DESAKAN

BESUT 13 Jan. - Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia meminta supaya Kementerian Pelajaran tidak melayan sebarang desakan menarik balik novel Interloksebagai teks wajib Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.

Presidennya, Profesor Madya Dr. Hashim Othman berkata, pihaknya berpendapat langkah itu hanya akan menghakis peluang generasi muda memahami dan menerima perkembangan sejarah pelbagai masyarakat yang membentuk negara Malaysia.


Beliau berkata, Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husein menggarap idea dengan baik dalam novel itu melalui penceritaan tentang pembinaan masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum merdeka menerusi watak Seman, Chin Huat dan Maniam secara realistik.

"Tindakan bakar novel dan potret penulis Interlokjelas tidak menggambarkan kematangan tindakan dan pemikiran, yang jelas bermotif kepentingan politik tanpa melihat konteks cerita atau menerima realiti peristiwa yang digambarkan penulis," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hashim percaya sekiranya tuntutan kumpulan itu dilayan, pasti banyak lagi isu akan ditimbulkan berpandukan daripada buku-buku lama atau buku sejarah yang menggunakan perkataan atau perumpamaan tertentu yang menggambarkan masyarakat Melayu, Cina dan India sebelum merdeka.

Beliau berkata, penggunaan Interlok juga selari dengan mata pelajaran Sejarah yang dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus, iaitu murid didedahkan dengan hakikat dan fakta sejarah untuk membolehkan mereka berfikir secara rasional, kritis serta memupuk sifat bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

"Interlok ditulis untuk dibaca dengan fikiran terbuka, bukan dibakar untuk memarakkan emosi," kata Dr. Hashim yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Sumber: Utusan Malaysia