Followers

Wednesday, January 12, 2011

Laporan Interlok ke Kabinet

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Laporan kajian semula penggunaan novel Interlok oleh pelajar tingkatan lima yang bermula tahun ini, akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok atau selewat-lewatnya minggu depan.Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Kabinet akan membincangkan laporan tersebut sebelum membuat keputusan berhubung penggunaan novel yang menjadi sebahagian daripada komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan lima itu.


Katanya, beliau yakin Kabinet akan mengekalkan penggunaan novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu setelah meneliti laporan yang disediakan oleh panel penilai semula, termasuk hasil pertemuan dengan penulis semalam.
"Kita sudah jumpa Abdullah dan mendengar penjelasan beliau yang memberitahu perkara sebenarnya.

"Dalam pertemuan itu, ada beberapa perbincangan yang dipersetujui bersama tetapi saya tidak boleh dedahkan hari ini. Laporan itu telah siap dan akan dikemukakan di mesyuarat Kabinet sama ada esok atau minggu depan setelah Timbalan Perdana Menteri pulang daripada lawatan rasmi di Amerika Syarikat," katanya.




Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan al-Quran Antarabangsa 2011 kali pertama di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mohd. Puad bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beberapa perkataan kontroversi dalam novel itu bakal dipinda.

''Saya tidak tahu keputusan Kabinet nanti bakal memuaskan hati kedua-dua belah pihak atau tidak.

''Saya juga tidak boleh mendedahkan berhubung beberapa cadangan yang dikemukakan dalam laporan tersebut sehingga Kabinet mengumumkannya, tetapi saya yakin buku itu akan kekal digunakan," katanya.

Mohd. Puad berkata, novel tersebut sebenarnya tidak wajar dipolitikkan dan tindakan membakarnya merupakan satu penghinaan seolah-olah disamakan dengan penulis buku berjudul Satanic Verses oleh Salman Rushdie.

''Apakah Sasterawan Negara kita itu sedemikian rupa kedudukannya?. 
''Ini adalah penghinaan yang cukup nyata yang sepatutnya tidak berlaku oleh kerana didorong emosi dan dipolitikkan sehingga penulis menjadi mangsa.
'
'Bagaimanapun kita tidak akan terpengaruh dengan tindakan sebegitu rupa kerana kita ambil tindakan melalui perbincangan. Sebab itu kita berjumpa dengan panel itu semula termasuk meminta pandangan daripada ahli akademik India dan akhirnya atas arahan Kabinet, kita jumpa penulis," katanya.
Apa yang penting, katanya, adalah tanggungjawab guru untuk mengolah buku tersebut sekali gus mendidik anak bangsa tentang masyarakat berbilang kaum melalui pengajaran daripada tiga watak yang dikemukakan dalam novel itu.
''Perkara itu yang sepatutnya menjadi pengajaran bukannya mengajar anak bangsa dengan perbuatan biadab membakar buku tersebut, seolah-olah mengetepikan sama sekali unsur-unsur dan nilai kemanusiaan serta pendidikan untuk menyatukan bangsa," katanya.


Sumber : Utusan Malaysia 11/1/2011

No comments:

Post a Comment