Followers

Saturday, October 31, 2009

Sebab Pulut Santan Binasa, Sebab Mulut Badan Binasa.

Aisya, nama yang ibu bapa aku berikan sejak lahir. Aku mempunyai seorang sahabat karib yang aku kenali sejak kecil iaitu Fasha. Aku sangat menyayanginya. Kami selalu bersama-sama, berkongsi suka dan duka. Antara kami tiada rahsia lagi.

Semasa di sekolah kami duduk sebelah menyebelah. Di mana ada aku pasti ada dia. Hubungan kami seperti isi dengan kuku. Kawan-kawan juga sering melebelkan kami seperti belangkas. Hubungan kami sangat akrab dan bahagia sehinggalah kemunculan rakan baru dalam kelas kami. Guru telah memperkenalkan rakan baru kami itu di hadapan kelas. Kartina namanya. Kebetulan di belakang tepat duduk kami ada satu tempat duduk kosong. Maka Fasha mengalu-alukan Kartina untuk duduk di situ. Sampai sahaja waktu untuk pulang kami berangkat pulang bersama-sama sambil berbual-bual. Kami bertanyakan serba-serbi tentang dirinya. Hari demi hari hubungan kami semakin rapat. Khususnya Fasha kerana rumah Fasha hampir dengan rumah Kartina.

Kehadiran Kartina telah merenggangkan hubungan aku dengan Fasha. Fasha lebih banyak besama-sama kartina berbanding aku. Suatu hari Fasha tidak hadir ke sekolah. Tetapi anehnya kartina sangat baik dengan aku pada hari itu. Malah dia menawarkan dirinyan untuk duduk di sebelahku bagi menggantikan tempat Fasha yang tidak hadir ke sekolah hari itu.

Dalam perbualan kami, dia banyak menyentuh tentang keburukan Fasha. Dia juga menyatakan bahawa sebenarnya Fasha berpura-pura baik denganku.. Lebih memedihkan hatiku dia memberi tahu bahawa aku tidak layak disukai oleh Afri iaitu pelajar lelaki yang meminatiku di kelas. Mendengarkan hal itu hatiku menjadi panas. Perasaanku bagai dihiris sembilu. Aku begitu ikhlas dengan Fasha. Kenapa Fasha memperlakukan aku begini? Itulah fikirku waktu itu. Perasaan marah dan sedih menguasai diriku. Aku hilang pertimbangan.

Pulang dari sekolah aku terus berkunjung ke rumah Fasha. Aku pergi dengan perasaan marah dan langsung tidak memperdulikan Kartina. Seribu persoalan bermain-main di fikiranku. Benarkah Fasha benci akan aku?Benarkah dia tidak hadir ke sekolah kerana tidak mahu berjumpa dengan diriku seperti yang dimaklumkan oleh Kartina?

Setibanya aku di rumah Fasha aku lantas memberi salam. Fasha datang untuk membukakan pintu. Sebaik sahaja Fasha membuka pintu, aku terus memarahinya dengan kata-kata yang kesat dan kasar. Aku langsung tidak memberi peluang kepada Fasha untuk membela dirinya. Setelah puas, aku terus pergi meninggalkan Fasha termangu-mangu. Fasha terkejut dan menangis mendengar kata-kataku.

Setelah beberapa jam keseorang di rumah, tiba-tiba aku mendapat panggilan telefon yang membuatkan aku berasa bersalah seumur hidupku. Ibu Fasha telah menghubungiku. Dia memaklumkan aku bahawa Fasha mendapat kemalangan. Aku lantas terkenangkan perbualanku dengan Katina di sekolah tadi dan tindakan aku menyerang Fasha di rumahnya.

Aku lalu bergegas ke hospital. Aku terkejut melihat sekujur tubuh Fasha terbaring di atas katil hospital sambil memakai alat bantuan pernafasan. Menurut cerita ibu Fasha, selepas aku meninggalkan Fasha tengah hari tadi, Fasha terus muram dan sedih. Fasha minta izin keluar untuk menemuiku. Walaupun ibu melarang kerana bimbang dengan keadaannya tapi Fasha berkeras juga mahu keluar kerana mahu menjernihkan semula keadaan yang sedang kusut katanya. Waktu itulah Fasha terlibat dalam kemalangan. Basikal yang dikayuh oleh Fasha telah dilanggar oleh sebuah kereta dari arah belakang.Mendengarkan hal itu aku terus menangis tesedu-sedu.

Tiba-tiba Fasha sedar dari pengsannya. Fasha memanggil namaku. Dia seolah-olah ingin memberitahuku sesuatu. Fasha bersuara dengan nada yang amat perlahan sehinga aku terpaksa mendekatkan telingaku ke mulutnya. Dia menyatakan bahawa dia tidak dapat hadir ke sekolah kerana deman. Dia juga mengatakan bahawa dia sangat menyayangiku. Semua yang Kartina nyatakan adalah dusta semata-mata. Setelah itu Fasha tidak sedarkan diri semula. Beberapa jam kemudian doktor mengesahkan Fasha telah pergi buat selama-lamanya. Ya Allah, ampunkan aku, Aku telah menyebabkan kehilangan nya seorang rakan yang sangat aku sayangi. Aku menyesali perbuatanku. Kalaulah aku tidak mempercayai kata-kata Kartina, Fasha tidak akan mati. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa! Aku menyesal....


Markah: 77/100

Karangan hasil karya
Wan Nur Amalina
4SG (Kumpulan 2)
Sek. Men. Keb. Seri Indah

2 comments: