Followers

Thursday, November 5, 2009

Peristiwa Meruntun Jiwa....

Salam untuk semua pembaca,
Ana tak tahu dari sudut mana hendak ana memulakan penulisan ana kali ini?. Pengajaran apa yang hendak ana ketengahkan?. Walaupun persoalan yang hendak ana sentuh kali ini tidak melibatkan diri ana secara langsung tapi impaknyanya amat mendalam dan berkesan di jiwa ana malah semua warga SMKSI ana kira. Ana cuba agar tidak menyentuh mana-mana perasaan dan tidak menimbulkan kemarahan mana-mana pihak baik yang terlibat secara langsung ataupun tidak.

Pagi ini warga SMKSI gempar sebentar, khususnya warga pendidik dan kakitangan sokongan. Kehadiran seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah yang tidak diundang tetapi telah dijangka, telah menimbulkan kerisauan banyak pihak dan ketakutan yang amat sangat kepada seorang isteri dan anak-anak yang telah sekian lama terseksa dan terdera fizikel dan mentelnya. Hal ini menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa menelefon dan memaklumkan kepada polis agar tidak ada mana-mana jiwa yang terancam. Isteri dan anak yang malang ini terpaksa kami sorokkan di suatu tempat yang selamat.... Allah sahaja yang tahu betapa tersiksanya isteri dan 4 orang anak-anak malang ini. Walaupun akhirnya dengan bantuan guru-guru lelaki sekolah ini dan guru-guru perempuan yang kenal dengan suami ini (tak pasti layak atau tidak digelar suami dan ayah) dia telah berjaya dipujuk agar meninggalkan sekolah.

Namun, kebimbangan pihak sekolah terhadap anak-anak dan ibu ini tetap ada. Bimbang dia datang lagi. Lalu kami sepakat meletakkan 4 anak malang ini di satu tempat yang lebih selamat. Hal ini juga perlu supaya tidak membahayakan anak-anak guru lain yang tinggal di taska sekolah ini.

Peristiwa ini salah satu episod getir yang baru dilalui oleh isteri muda dan 5 orang anak malang yang yang tersiksa oleh kezaliman suami yang tidak bertanggungjawab. Kegetiran ini telah dilaluinya begitu lama namun si isteri masih bersabar dan setia. Ana masih ingat semasa ana hendak menunaikan haji dua dahulu, si isteri ini sedang sarat mengandung anak bongsunya sekarang, keadaan yang sama juga berlaku. Beliau telah disepak terajang tanpa belas kasihan. Ana telah memanjangkan doanya di depan Kaabah agar rumahtangganya bahagia dan suaminya berubah. Sehingga kini, Allah belum memakbulkan doanya itu. Yang pastinya, Allah sahaja yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk keluarga ini. Kita hanya dapat mendoakan beliau dan anak-anak bersabar dan terus berdoa di samping berusaha untuk mencari kebahagian demi masa depan yang lebih baik untuk 5 orang anak-anaknya.

Apalah yang dapat kita berikan selainkan simpati, bantuan moral dan wang ringgit kepada keluarga ini. Atas nasihat pengetua, malam ini beliau akan membawa anak-anaknya pergi jauh kesuatu tempat yang lebih selamat dan menguruskan hal-hal selanjutnya kemudian. Kita sama-sama doakan keselamatan mereka.

Melihat wajah-wajah comel anak-anak kecil ini, (10 tahun - 2 tahun) menitik air mata ana. Besarnya ujian yang Allah beri kepada mereka. Tabahnya jiwa-jiwa mereka menghadapi ujian ini. Kalau ana di tempat mereka (naauzubillah) anapun tak pasti akan dapat hadapi ujian itu setabah mereka. "Ya Allah janganlah engkau uji kami dengan ujian yang tak mampu kami hadapinya."

Ana juga kagum dengan kesepaduan guru-guru SMKSI. Semuanya memberi simpati dan bantuan yang tidak dapat dinyakan di sini, terharunya ana dengan segala tindakan mereka. Mereka sanggup menghulurkan apa sahaja bantuan asalkan insan-insan malang tidak terus didera oleh suami yang tidak bertanggungjawab itu.

Rakan-rakan seperjuangan yang dikasihi,
Bukan niat ana untuk mengisahkan kepincangan rumahtangga sesiapa. Tapi ini sebagai pengajaran dan teladan kepada kita, di samping melahirkan rasa insaf diri dan bersyukur kita kehadrat Ilahi kerana memilikki suami yang tidaklah sekejam itu. Maka, terimalah suami kita seadanya. Atau bersyukur kerana masih tidak menemui jodoh daripada bertemu jodoh dengan lelaki sedemikian rupa. Dalam dunia yang bertambah maju ini, institusi keluarga dikatakan semakin lemah. Kesannya, anak-anaklah yang paling menderita. Jika kita tidak sama-sama prihatin dan menganggap hal ini ringan maka bagaimanakah generasi masa depan yang hendak kita tinggalkan?. Bukalah selayaknya ana untuk menasihatkan sesiapa. Kita sama-sama memuhasabah diri agar sama-sama membina sebuah keluarga bahagia di dunia dan akhirat.

Kepada kaum suami, anak-anak dan isteri ialah amanah Allah kepada suami untuk disayangi dan dilindungi bukan untuk diperlakukan sedemikian rupa. Kenanglah sedikit jasa kami yang telah melahirkan zuriat kalian di dunia ini....

Inilah kisah yang sangat menyayat hati kami semua.... Namun, kata orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.... Semoga Allah permudahkan segala urusannya dan memberi kekuatan dan kesabaran kepada keluarga ini. Amin ya rabbil alamin.

Ana memohon jutaan kemaafan kerana mencoretkan kisah ini di blog ana... dan ana berharap tindakan ini tidak membahayakan keluarga malang ini...

1 comment: