Followers

Friday, March 5, 2010

TEKNIK BELAJAR: GUNAKAN MASA YANG SINGKAT

Otak manusia jika digunakan sebaik-baiknya dengan kaedah yang betul pasti mampu memberikan kekuatan ingatan dan daya fikir yang luar biasa. Ini ialah bukti keagungan Allah s.w.t.!

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Alhamdulillah, cikgu terjumpa bahan yang berkaitan kaedah belajar dan juga untuk mempertingkat daya ingatan. Insya Allah, semoga ilmu ini bermanfaat bagi kita untuk menghafaz ayat al-Quran dan pelajaran yang lain.

kadang-kadang kita mungkin berpendapat bahawa jika semakin banyak masa yang digunakan untuk terus menerus membaca atau belajar, maka semakin banyak input yang dapat kita terima.

Namun begitu, pendapat sedemikian adalah tidak begitu tepat. Ahli motivasi menyatakan bahawa masa singkat yang digunakan untuk tujuan belajar adalah lebih produktif.
Bagaimana cara untuk melakukannya?

Peruntukkan masa yang pendek/sekejap bagi setiap sesi belajar atau ulang kaji kita. Kajian yang dilakukan mendapati tempoh belajar yang optimum adalah antara 25 minit hingga 30 minit bagi satu sesi, dengan lima minit rehat di antaranya.

Masa belajar keseluruhannya sebaik-baiknya tidak melebihi dua jam. Jika lebih daripada tempoh dua jam tersebut, susah bagi kita untuk mengekalkan perhatian dan tumpuan.
Kesannya, kita tidak dapat mempelajari banyak perkara walaupun kita kelihatan menghabiskan banyak masa untuk belajar. Sebagai contoh, jika kita ada masa dua jam untuk belajar, kita boleh membahagikan masa tersebut kepada empat sesi setengah jam ( 4 x 30 minit ).

Dalam sesi pertama, kita boleh belajar Sejarah, kemudian kita boleh buat latihan Matematik dalam separuh masa kedua. Dalam sesi ketiga, kita boleh buat latihan menulis dan pada akhirnya kita boleh mempelajari bahasa Arab.

Keempat-empat subjek yang disebut sebentar tadi adalah sekadar contoh sahaja. Kita boleh menyesuaikan dengan keperluan dan suasana pembelajaran kita.

Antara faedah yang dapat diperoleh daripada kaedah ini ialah minda kita tidak menjadi bosan. Pada masa yang sama, kita sebenarnya merangsang semua jenis kebijaksanaan yang kita ada.
Selepas kita belajar selama dua jam, adalah patut bagi kita untuk berehat selama setengah jam sebelum menyambung uji kaji.

Rujukan: Teknik Belajar, Abdul Aziz U. Chulan, FOKUS SPM Januari 2006.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.Selamat dan sejahterakanlah perjalanan kami menuju-Mu. Matikanlah kami dalam menyebut kalimah tauhid.

2 comments:

  1. saya setuju dengan kata-kata cikgu..
    dan alhamdulillah inilah apa yang saya telah praktikkan sejak kecil lagi..

    ReplyDelete
  2. Tahniah Insyirah, mungkin boleh kongsi pengalaman dengan orang lain. Semoga terus cemerlang.

    ReplyDelete